Friday 8 March 2013

Kekejaman Pengganas Sulu

Assalamualaikum.

Sakitnya hati aku bila baca berita di utusan ni. Nak menitis air mata. Sampai macam tu sekali penceroboh tu buat pada pejuang-pejuang kita. Kurang ajar punya Kiram. Korang memang kejam. 

Sebelum ni aku ada dengar orang cakap-cakap tentang apa yang pengikut Kiram buat pada pejuang kita dan aku percaya sebab kalau dah namanya penjahat tu diorang sanggup buat apa saja, tapi bila Hubby tanya aku dapat sumber dari mana, terus aku terdiam.

Semoga pejuang negara yang terkorban ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. 

Al Fatihah.


LAHAD DATU 7 Mac - Ditawan kemudian dipenggal kepala merupakan antara kekejaman yang tiada tara dilakukan pengganas Sulu ke atas anggota keselamatan negara.

Bukan itu sahaja, seorang anggota pasukan keselamatan yang turut ditawan dirodok perutnya menggunakan parang Sulu atau barong sebelum dadanya dibelah dan dikeluarkan segala organ dalaman.

Badan wira negara juga ditetak sehingga bercerai beberapa anggota badan sebelum dicampak ke laut manakala ada antara mereka maut kerana kedua biji mata mereka dicungkil menggunakan senjata tajam.

Seorang lagi anggota pasukan keselamatan walaupun terselamat menjadi cacat apabila kedua-dua belah tangannya kudung akibat ditetak dan kepalanya dikelar menggunakan kerambit.

Kesemua wira negara itu diperlakukan sedemikian selepas diserang hendap pada 2 Mac lalu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna.

Perbuatan yang sangat sadis dan tidak berperikemanusiaan itu menimbulkan tanda tanya apakah mereka ini di bawah pengaruh dadah atau ilmu hitam.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan beliau amat dukacita apabila niat suci Malaysia untuk tidak membenarkan setitik darah tumpah di bumi Sabah dibalas dengan kekejaman oleh pengganas Sulu terhadap anggota keselamatan.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook hari ini mengesahkan, selepas operasi menyelamat dibuat anggota komando VAT 69, mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan penuh kejam.

"Apabila tiba di Kampung Simunul, pasukan polis diserang hendap oleh penceroboh. Enam anggota polis terkorban manakala dua yang lain cedera. Enam penceroboh bersenjata telah dibunuh pihak polis.

"Polis menghantar pasukan penyelamat untuk membawa keluar mayat wira-wira kita. Mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan kejam oleh penceroboh bersenjata tersebut," katanya.

Dalam serangan itu, enam anggota polis maut iaitu Supritendan Ibrahim Lebar, Asisten Supritendan Micheal Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Aziz Sarikun, Koperal Salam Togiron dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.

Semua mereka yang maut itu kemudian diberi kenaikan pangkat berkuat kuasa serta-merta sebagai menghargai jasa dan pengorbanan wira yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Terdahulu, pada 1 Mac lalu, pengganas Sulu juga bertindak keji apabila berpura-pura menyerah diri dengan mengangkat bendera putih sebelum menembak mati dua anggota komando VAT 69 dan mencederakan tiga yang lain di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, yang menyangka pengganas Sulu ikhlas kemudian bangkit daripada posisi meniarap menyebabkan kedua-dua mangsa maut ditembak di kepala. -UTUSAN




***
Ya Allah Ya Tuhanku...
Engkau lindungilah para pejuang tanah air yang berjuang mempertahankan bumi Malaysia yang tercinta. Sematkanlah semangat juang yang tinggi dihati mereka. Permudahkanlah urusan mereka agar tiada lagi korban nyawa.

Ya Allah Ya Tuhanku..
Engkau rungkaikanlah permasalahan yang melanda Malaysia. Semoga kedaulatan Malaysa terus terpelihara.

Amin.


No comments: