Friday, 31 May 2013

Ke Kuala Terengganu

Assalamualaikum.

Sekarang ni nak update belog rasa macam kosong je. Banyak sebenarnya cerita nak update tapi entahlah. Hmmm.

Pagi esok, sebelum subuh kami akan ke Kuala Terengganu, MIL ajak ke sana tengok kakak dia aka makcik suami yang sakit. Majlis kahwin kitorang aritu pun dia tak dapat datang, yelah jauh perjalanan kang jadi pape tengah jalan susah pulak. Kami bertolak dari Putrajaya, MIL bertolak dari Johor. 

Dah alang-alang sampai Terengganu tu, rasanya nak cuci-cuci mata sekali kot. Kitorang dah sewa homestay kat sana, sehari je, sehari lagi stay kat rumah mak cik suami. Sewa homestay 1 hari RM 180.00. 3 bilik semua aircond. Ok lah kot, nak cari yang ok sikit semua dah penuh. Almaklumlah sekarang tengah cuti sekolah. Kalau ok nanti aku review kat sini ye homestay tu.

Harap-harap perjalanan kami dipermudahkan dan selamat pergi dan pulang. Amin.


***
Oh, esok genap sebulan aku dioperasi oleh doktor.
Luka dah makin sembuh.
Tapi pagi ni luka rasa lain macam pulak.
 Haih, janganlah dia buat hal.
 Nak jalan jauh ni..


Monday, 27 May 2013

Madu sebagai penyembuh luka

Assalamualaikum.

Selama 2 minggu ni aku amalkan jeli gamat, nak masuk 2 botol dah katanya untuk mempercepatkan luka pembedahan. Akak opis ada jugak bagi pati ikan haruan, tapi aku tak boleh nak telan. Bau dan rasanya masyaAllah, enak sekali. Hehe. Aku makan Jeli gamat Luxor, jeli gamat ni takda rasa apa-apa pun, tapi aku mengengada, ubat semua nak sedap kan so campur la dalam air kordial berperisa blackcurrant dan strawberi. Hehe.

Baru sekejab ni sajalah google2 pasal nak cepatkan luka sembuh, selain menggunakan pati ikan haruan dan gamat, madu juga amat bagus dan lebih bagus dari kedua-duanya tadi. Madu menyembuhkan luka pembedahan secara semulajadi dan menjadikan luka dalaman dan luaran nampak cantik dan bersih. Oh, baru ku tahu. 


Hati-hati ye, ada jugak madu tak asli di pasaran.

Rasanya belum terlambat kot untuk aku amalkan madu ni, selain untuk sembuhkan luka, banyak lagi khasiat madu yang patut untuk aku amalkan. Kat rumah memang dah ada madu, cuma kadang-kadang je aku makan. Hmmm, suami tolong ingatkan ayang ek nanti. Hehe.


***
Info sikit, nak banyak lagi boleh baca sini dan sinun ye. 

Sebagai Antiseptik, madu merupakan agen yang mengeluarkan racun dari gigitan atau sengatan atau luka berjangkit dan merupakan antibiotik dalam merawat ulser perut, gangrene, jangkitan luka pembedahan, pemotongan pembedahan, dan melindungi cantuman kulit (skin graft), kornea, saluran darah dan tulang ketika dalam penyimpanan dan penghantaran.

Madu Asli secara dalamannya sangat efektif sebagai anti bakteria dan parasit. Madu itu sendiri merupakan antibiotik semulajadi yang membantu membunuh mikrob secara terus. Madu, apabila digunakan pada luaran, akan mempercepatkan proses penyembuhan pada tisu yang rosak disebabkan jangkitan kuman dan/ atau kecederaan. Ianya mempunyai vitamin, mineral dan enzim, juga gula ringkas, yang semuanya diperlukan dalam membantu penyembuhan luka.



Friday, 17 May 2013

Pengalaman Mengandung Luar Rahim _ Ectopic Pregnancy

Assalamualaikum.

Dikhabarkan aku mengandung 6 minggu 6 hari oleh doktor adalah perkara yang amat mengembirakan kami suami isteri. Disaat kami memang mengharapkan rezeki anak, Allah makbulkan. Kita hanya merancang dan sesungguhnya perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Kegembiraan kami tak lama, Dia tarik kegembiraan kami dalam sekelip mata. Aku dikhabarkan oleh Doktor tentang kehamilanku berada di luar rahim. Ya Allah, hanya Engkau yang tahu perasaan aku ketika itu. Zuriat yang Engkau pinjamkan kepada kami hanya untuk beberapa ketika saja.


Khamis, 25 April 2013.

Period lewat 2 minggu. Aku dapat rasakan perubahan dalam diri aku, kerap membuang air kecil, payudara membengkak, dan sedikit loya di awal pagi. Dari apa yang aku baca ia merupakan petanda seseorang itu hamil. Aku mengajak suami ke farmasi untuk membeli upt. Dan hasilnya positif. Ujian pertama yang aku buat, hasilnya samar-samar, kali kedua keputusan positif, hamil 4-5 minggu. Dalam masa yang sama aku mengalami bleeding. Tak banyak, hanya tompok-tompok coklat di pantiliner. Risau dan kami mengambil keputusan untuk ke klinik. Orang kata bleeding di awal kehamilan ni biasa, tapi risau kami ni bersebab rupanya. Doktor di Klinik Cahaya, Presint 8 turut mengatakan ianya symptom biasa bagi ibu-ibu hamil. Aku mengatakan, bleeding ni dah hampir seminggu dan risau kalau apa-apa terjadi pada kandungan. Doktor terus memberi surat refer emergency di Hospital Putrajaya.

Sampai di hospital, macam biasa doktor memeriksa tekanan darah dan menekan-nekan perut. Doktor tanya sakit tak. Tak. Dia menyuruh aku membuat upt sekali lagi. Positif. Doktor menanyakan tarikh last period dan dia mengira usia kandungan aku, 6 minggu 6 hari katanya. Dia mintak kebenaran untuk scan perut aku. Aku izinkan, tapi baby tak dapat dikesan. Risau lagi, doctor mintak aku ke bilik sebelah kerana mesin scan dibiliknya tak berapa canggih. Masuk bilik sebelah, nurse mintak tukar kain pink dan baring . Doktor nak buat vaginal scan, malu jangan cakaplah. Sakit pun satu. Hasilnya masih tak nampak. Risau makin bertambah. Doktor mintak refer ke Dewan Bersalin di bangunan lain.

Di sini, aku di scan lagi, hasilnya sama. Masih tak nampak. Dah 4 doktor yang datang mengodek-godek bawah aku masih jugak tak nampak. Dan hasilnya doktor mengesyaki aku hamil luar rahim. Doktor ambil darah dan upt sekali lagi. Jam 11.45 malam darah diambil untuk memeriksa kandungan hormone hcg, dalam tempoh 48 jam aku kena datang ke hospital untuk diambil darah lagi. Kalau bacaan hormone meningkat 2x ganda, bermakna betul aku mengandung.

Sabtu, 27 April 2013.

Jam 11.45 malam, ke hospital untuk mengambil darah.

Isnin, 29 April 2013.

Aku menghantar suami dulu ke tempat kerja. Appointment pukul 9.00 pagi aku sempat singgah ke pejabat untuk bersarapan. 8.30 pagi baru aku ke hospital. Nama aku dipanggil jam 11.00pagi. Sementara menunggu nama dipanggil aku sempat menghabiskan bacaan Surah Mariam tru hp, berdoa mengharapkan baby aku normal di tempatnya. Aku tidak putus-putus berdoa. Bilik bertukar bilik, 3 doktor digunakan untuk  memeriksa kandungan aku. Dan akhirnya keputusan pasti. AKU DISAHKAN MENGANDUNG LUAR RAHIM. Gelap dunia aku seketika. Aku sempat melihat turun naik degupan jantungnya. Ya Allah. Menitis air mata. Doktor menenangkan, aku masih menangis. Telefon suami datang hospital sekarang jugak.

Doktor mengatakan kami terpaksa melakukan pembedahan membuang kandungan dan tiup fallopio sebelah kanan aku terpaksa dipotong. Ya Allah sekali lagi tamparan hebat. Dan pembedahan tu perlu dibuat harini juga. Aku tanya doktor, esok tak boleh ke? Aku perlu  masa untuk menerima ketentuan ni. Doktor balas kenapa nak tunggu esok, kalau dia pecah dalam perut awak nanti lagi bahaya, nyawa aku akan terancam, 50/50. Aku pasrah. Nurse bagi 2 surat untuk aku sain.

Sementara menunggu katil ward kosong, aku mintak keluar dari tempat pemeriksaan untuk menelefon suami dan mak. Aku disuruh untuk puasa, last makan pukul 8.00pagi. Aku masuk ward dalam pukul 3.00petang. Telefon akak opis, Kak Akma beritahu apa yang terjadi. Katanya dapat je berita terus dia menangis. Petang, habis waktu kerja terus dia datang melawat aku. Terharu sangat. Family nak datang semua jauh-jauh, suami dan kawan-kawanlah yang mengubat kedukaan ni. Suami mintak aku bersabar, dalam masa yang sama dia turut bersedih. Dugaan berat untuk kami yang baru hendak memahami hidup berumah tangga.
Malam menjelma, aku tidak jua dipanggil untuk dibedah. Jam 11.45malam aku dikejutkan, pembedahan dah boleh dijalankan. Aku lapar dan menggigil kesejukan.

Aku diminta sain satu borang, untuk memasukkan ubat bius dalam badan.  Selesai. Kemudian aku dibawa ke bilik bedah. Nak bagitahu suami hp kehabisan bateri. Aku berdoa dan tawakal saja masa ni. Dan aku tahu suami sedang solat hajat di rumah untuk keselamatan  aku di hospital. Macam mana aku tahu hanya suami saja yang tahu.
Dibilik bedah, kalau tak silap aku doktor2 tu ada pasang radio bacaan ayat-ayat Al-Quran, tapi aku tak ingat apa. Rasa tenang sikit. Doktor menerangkan pasal pembedahan ni, dia tanya jugak lepas pembedahan selesai nak panggil aku nama apa. Aku jawab RIN. Doktor pun ok. Lepas dia pasang gas kat hidung aku dah tak sedar pape.

Selasa, 30 April 2013.

Lebih kurang jam 1.15 pagi, aku terdengar doktor memanggil nama aku. Sempat aku mengerling jam dinding. Aku tersedar dan aku pandang kiri kanan. Aku mamai, dalam mamai-mamai aku dapat rasa perut aku sakit, ada 3 tebukan di perut. Aku menangis mengenangkan baby aku dah takda.

Aku dihantar ke wad. Nurse mintak aku call suami beritahu pembedahan dah selesai, tapi bateri hp habis, aku mintak nurse yang tolong callkan. Suami sampai dalam jam 8.00pagi, tu pun sekejab saja. Nurse tak bagi lama-lama. Suami datang semula jam 12.30 tengah hari. 

Selesai semua urusan, aku dibenarkan keluar wad jam 2.00 petang. Aku diberi mc selama 2 minggu. 

Dapat katil tepi tingkap. Lapang sikit dada.

Bunga dan air ECPI pemberian Kak Akma.

Kanan pakai tag kiri masuk air. Sakit.

Bosan sementara tunggu masa bila boleh discharge.
Pembedahan laparoskopi.
Macam nilah luka pembedahan aku. 3 tebukan. Sumber


Beberapa nasihat/ kata-kata semangat daripada doktor/nurse/ kawan-kawan ;
  • sekiranya lewat period lepas ni cepat-cepat buat upt dan sekiranya positif buat scan di klinik yang boleh lihat kedudukan bayi. 
  • jangan risau, peluang hamil masih cerah.
  • sekurang-kurangnya awak tahu awak boleh hamil, sedangkan orang lain ada yang bertahun tunggu tak tahu dia boleh hamil ataupun tidak.
  • kami insan terpilih untuk menghadapi ujian ni "Allah tak akan sekali-kali menguji di luar kemampuan hambanya"
  • Dan 1 ucapan yang membuat hati aku dan suami tenang, InsyaAllah, dia tunggu kami di sana. Bukan senang nak dapat saham di akhirat kan. 

Sedikit pesanan untuk bakal-bakal ibu hamil di luar sana;
  • Seandainya anda hamil dan mengalami bleeding/ tompokan darah macam saya, cepat-cepat jumpa doktor ya. Takut ia petanda luar biasa macam saya. Mencegah lebih baik dari  mengubati kan. Kelewatan membuang kandungan luar rahim akan menyebabkan ia pecah di dalam perut dan mengakibatkan pendarahan yang banyak serta boleh mengancam nyawa ibu.  

Update 23/9/2014 - Hamil semula selepas ectopic



Tuesday, 14 May 2013

Ujian Allah - Tanda Dia Sayang

Assalamualaikum.

Lebih 2 minggu belog tak berupdate. 2 minggu dapat mc daripada doktor tu yang belog pun turut mc sama. 

Dari entry lepas, kami sempat merasa gembira untuk menjadi ibu ayah beberapa hari saja. Khabar gembira tersebut direntap apabila doktor mengesahkan aku mengandung luar rahim. Tak pernah terfikir dan terbayang aku akan menghadapi ujian seberat ni.

Dengan usia kandungan 6 minggu 6 hari, aku sudah dapat lihat degupan jantungnya, turun naik turun naik... 



Sebak hati ibu sayang tatkala doktor memberitahu 
mereka terpaksa membuat pembedahan mengeluarkan kamu dari perut ibu kerana kamu berada di tempat yang tak sepatutnya. 
Kamu tidak dapat membesar dengan baik di situ sayang. 
Maafkan ibu, ibu tak tahu macam mana dan ibu tiada pilihan. 
Ibu tak boleh berbuat apa-apa. 
Tunggu ibu ayah di sana ya sayang. 
InsyaAllah...


Alhamdulillah, sekarang ni kami menerima Qada' dan Qadar Allah sebagai ujian untuk menguatkan lagi keimanan kami kepadaNya, Hanya Dia yang tahu hikmah disebalik ujian ini. Dan sekarang pun aku masih dalam tempoh berpantang. Luka jahitan masih belum pulih sepenuhnya. Doakan kami mudah mendapat zuriat ye kawan-kawan.

Macam nilah rupa babyku ketika dikeluarkan, kepala, tangan, tulang ekor jelas sangat.

Nanti aku ceritakan pengalaman aku mengandung luar rahim ni ya.

Kisah di sini..